KENGKAWAN YANG SEJIWA...

Ahad, 17 April 2011

MENCARI DIRI

Hakikatnya, banyak cerita yang aku tonton, kalau berdasarkan kisah benar, akan menpengaruhi hidup aku.  Paling tidak pun, aku akan memikirkan tentanya untuk satu jangkamasa yang agak panjang.  Apatah lagi kalau ia melibatkan pengorbanan atau nilai2 dalam hidup individu tersebut.

Hujung tahun lepas, Astro ada menayangkan cerita 'Into The Wild', yang mana adalah berdasarkan kisah benar.  Cerita tersebut terus sahaja menghantui aku.  Aku kagum dengan pemuda Amerika itu yang sanggup meninggalkan keselesaan hidup dan keluarga, demi tuntutan nalurinya ingin berada dekat dengan alam semulajadi.  Beliau ingin menjalani hidup di Alaska...

Cerita tentang Christopher MacCandless yang baru menamatkan pengajian kolejnya dengan keputusan yang cemerlang, tetapi memilih untuk hidup mengembara dengan meninggalkan semua kemudahan duniawi.  Ringkasnya, beliau mengembara dengan menumpang kenderaan, menetap seketika di sesebuah tempat dan kemudiannya meneruskan perjalanannya untuk ke Alaska.




Cerita yang diolah berdasarkan sudut pandangan keluarganya, serta orang-orang yang pernah bersamanya sepanjang pengembaraan singkatnya itu menyentuh perasaanku.  Kenapa Chris, yang menggunakan nama 'Alex Supertramp' semasa mengembara begitu inginkan hidup, yang pada aku, kembali ke zaman dahulu kala - bergantung sepenuhnya kepada alam, seperti minum air sungai, memburu untuk mendapatkan makanan...
Hanya dia sahaja mengetui sebabnya...


Tapi sayang, usaha murni pemuda ini tidak berpanjangan.  Setelah gagal untuk berjalan kaki ke pergunungan Alaska, beliau terkandas dan menetap di dalam sebuah bas di pinggir bukit.  Untuk lebih tiga bulan dia tinggal di situ - menjadi betul-betul 'bersatu' dengan alam, sehingga dia akhirnya maut di dalam bas buruk itu...


Di dalam cerita itu, kematian Chris didakwa kerana dia tersalah makan pokok beracun, yang disangkanya pokok beri.  Tapi, aku ada juga terbaca di dalam google, ada sebab lain yang menjadi puncanya.  Beliau mengalami kebuluran yang melampau.  Aku agak bersetuju dengan pendapat kedua, kerana dia sendiri pun telah menulis nota s.o.s yang mengatakan bahawa beliau tidak berdaya untuk keluar meminta pertolongan...


Yang meruntun hati aku ialah, nota yang ditinggalkannya itu, di mana beliau mengatakan yang beliau telah menjalani kehidupan yang amat bermakna dan gembira, semoga Tuhan merestui semua...  Pada aku, beliau bangga dengan kehidupannya, walau tidak tercapai untuk ke Alaska.. Hanya dia dan alam semulajadi...

Kesimpulannya, pelbagai cara yang dilakukan oleh manusia di segenap pelosok dunia ini dalam usaha mereka mencari diri.  Yang berbeza mungkin pendekatannya.  Aku, juga sentiasa ingin mencari diri, dengan cara aku yang tersendiri.  Dan alhamdulillah, setakat ini, aku bahagia dengan diri aku.  Cuma mungkin persekitaran kurang membantu.  Namun, tidaklah aku bersedia untuk mengembara dan meninggalkan rumah serta keluarga kesayanganku.  Cukuplah rohaniku 'mengembara' setiap waktu, 5 kali sehari untuk bertemu 'pencipta'ku...



Antara gambar yang ditemui di dalam kameranya, semasa mayatnya ditemui, lebih dua minggu selepas kematiannya













Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terimakasih kerana sudi komen paparan saya. Saya amat menghargainya.