KENGKAWAN YANG SEJIWA...

Isnin, 7 Mac 2011

PERGI TAK KEMBALI

Pagi tadi, semasa melihat pasukan bola sepak sekolahku berlatih, aku teringatkan bekas dua orang anak muridku di sekolah lamaku sebelum ini.  Budak2 itu istimewa bagiku kerana mereka boleh bermain apa jua permainan seperti bola sepak dan bola baling, dan mereka mendominasi permainan tersebut.  Mereka adalah 'bintang' dalam pasukan sekolah, tunjang utama yang memastikan gawang pasukan lawan sentiasa dibolosi dengan gemilangnya!  Malah, mereka juga adalah yang terpilih dari sekolahku itu untuk mewakili zon untuk bermain di peringkat daerah. Aku percaya keluarga mereka tentu bangga dengan pencapaian itu.


Mengapa dua orang muridku ini, Irfan dan Makmin begitu terkesan dalam diriku?  Bila berada di sekolah luar bandar yang amat sedikit bilangan muridnya, hubungan kami- guru dan murid secara automatik menjadi rapat dan mesra.  Sementelah aku, yang pada waktu itu adalah guru kelas mereka, terasa amat dekat dan rapat.  Secara peribadi, aku seronok dan gembira sepanjang 3 tahun berkhidmat di situ kerana mereka baik, mendengar kata, menghormati guru serta kelakar walaupun mereka tidaklah sebijak murid2ku di sekolah sekarang ini.

Irfan, yang aku kenali amat meminati bola sepak.  Dia sering memakai jersi bola yang memaparkan gambar Lampard.  Kadang2 dia suka melaram dengan baju merah berlogo MU tu.  Dua helai baju itu wajib dipakainya semasa bersukan atau menghadiri kelas tambahan.  Malah, semasa memakai uniform sekolahnya pun, T-shirt itu tetap disarungnya pada sebelah dalam.

Kau dalam ingatan- 'Makmin' (tengah)
Satu peristiwa yang tetap segar dalam memoriku hingga ke hari ini ialah, Irfan yang serba boleh itu rupanya amat takutkan kucing!!  Dia geli akan bulu kucing yang halus itu.  Pernah suatu hari, aku memaksa rakan2 kelasnya yang lain memegangnya, sementara Makmin (gambar) meletakkan seekor kucing di atas ribanya.  Aku memaksanya mengusap badan kucing itu.  Dengan mata yang terpejam rapat dan tangan yang menggigil, dia mengusap jua.. Hingga ke hari ini aku ralat kerana telah memaksanya berbuat demikian, dan sekarang aku tidak lagi berkesempatan untuk memohon maaf daripadanya.
Dan hingga ke hari ini jugalah, setiap kali aku melihat Amri Yahyah, aku seolah-olah melihat kelibat Irfan.  Kerana mereka bukan sahaja mirip dari segi rupa, malah fizikal dan pergerakan juga...  Irfan, maafkan cikgu sekiranya sepanjang ajaran cikgu, kau terasa dan terluka hati.  Niat cikgu hanya satu, untuk mendidik kalian.


Keakraban Irfan dan Makmin ternyata hingga ke hujung nyawa.  Tahun lepas, semasa menikmati cuti pertengahan semester 1, seperti biasa, mereka dan rakan2 yang lain ke padang sekolah untuk bermain bola sepak.  Setelah tengahari, cuaca yang panas mendorong mereka berkubang di sungai pula.  Dan sebagaimana takdir Allah yang sedia tersurat (hanya manusia tidak mengetahuinya), dari lima orang bekas muridku yang hampir lemas dibawa arus, Irfan dan Makmin gagal menyelamatkan diri mereka...  Aku meratapi pemergian mereka kerana bagiku mereka terlalu muda.  Mereka belum berpeluang mengenal dunia yang luas ini.  Mereka belum puas bermain bola.  Namun Allah, aku redha dengan ketentuanMu.  Cuma pohonku, Kau tempatkanlah mereka bersama umatmu yang beriman.  Janjikanlah Jannah untuk mereka.  Amin....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terimakasih kerana sudi komen paparan saya. Saya amat menghargainya.