KENGKAWAN YANG SEJIWA...

Selasa, 1 Mac 2011

Lelaki itu Ayahku

Aku terkocoh2 menghidupkan enjin kapcaiku kerana jam sudah melangkaui 5.06 petang. Kelas Fardhu Ain anak keduaku sudah tamat enam minit yg lalu. Kalau lambat menjemputnya, dia akan merayau2 pula. Tiba di sekolah, hanya tinggal segelintir murid yg masih menunggu ibu bapa menjemput mereka. Tu dia anak aku sedang menunggu di bawah pokok. Lega... aku tak perlu melilau mencarinya. Dalam perjalanan pulang, aku perlu singgah ke rumah kakakku yang menetap bersama orang tua kami untuk menjahit klim baju fardhu ain anakku. Tiba di simpang, dari jauh kelihatan satu kelibat sedang berjalan lambat2 sambil mengheret sebelah kakinya. Hanya tangan sebelah kiri sahaja nampak berayun, manakala sebelah lagi terkulai diam di sisi.

Anakku yang membonceng segera malaung dan melambai ke arah lelaki tua itu. "Tok ayah!! Hai...." sapanya riang. Orang tua yang bergigi jarang itu kelihatan begitu gembira. Mulutnya yang menyeringai jelas menggambarkan keriangan walau percakapannya tidak jelas di telinga kami. Begitulah selalunya. Semenjak terkena serangan strok kencing manis 4 tahun lalu, semua fungsi anggota bandannya agak lumpuh di sebelah kanan. Lidahnya pula sudah tidak boleh petah berkata-kata seperti selalu. Setiap kali dia cuba berbicara, hanya gumaman yang halus dan sepatah dua sahaja yang jelas terkeluar dari mulutnya...

Dulu, lelaki tua itu gagah perkasa orangnya. Sementelah sikapnya yang agak baran dan ego. Bukan sekali dua dia bertikam lidah dengan rakan sekampung walau hanya kerana isu yang remeh. Pantang sekali pendapatnya disangkal. Orang kampung pun sudah sedia maklum dengan sikapnya itu.

Dengan isteri dan anak-anaknya, lagi la terserlah kegarangan dan ketegasannya. Setiap tutur yang meluncur dari lidahnya adalah perintah yang mesti diikuti anak-anak tanpa termimpi untuk dibincangkan, apatah disangkal lagi. Dia tidak pernah berbual-bual atau bercakap-cakap dengan anak-anaknya. Sebab itu mereka nak bertentang mata dengannya pun tidak berani.

Tapi siapa menyangka kekerasan hatinya itu luntur jua sedikit demi sedikit setelah anak bongsunya mula bergelar ibu. Kehadiran cucu-cucunya telah mematahkan keegoannya. Bukan dia tiada cucu lain, tapi mereka tinggal berjauhan dan amat jarang pulang menjenguknya. Tapi anak bongsunya tinggal berdekatan- sepelaung saja jaraknya. Orang kampung mula hairan dengan perubahannya. Setiap pagi dan petang membawa cucunya meronda-ronda ambil angin keliling kampung dengan motornya. Malah mereka lagi terbelalak melihat dia yang terkenal dengan kedekutnya itu sanggup berhabisan membeli apa sahaja keinginan cucunya!!

Aku pun gembira melihat perubahan sikap orang tua itu yang begitu kasih dan sayangkan cucu-cucunya. Malah mereka boleh duduk di riba dan minta didokong. Kadang-kadang, mereka siap naik atas belakangnya semasa main 'motor2'...

Namun, penyakit kencing manis tahap kritikal yang dihidapinya telah meragut kegembiraan warga emas berkulit gelap itu. Dia yang terlalu ego untuk mendengar nasihat doktor agar berpantang makan dan minum diserang strok pada satu pagi! Sebelah tubuhnya hampir lumpuh. Nasib baik masih masih mampu untuk berjalan perlahan (dengan bantuan). Keadaan itu jelas menghancurkan rutin hariannya. Namun, masa menjadi penawar. Orang tua itu sudah menerima keadaan dirinya seadanya. Walau sudah tidak dapat membawa cucu-cucu menunggang motosikal, dia amat gembira bila mereka sudi berjalan berpimpinan tangan dengannya. Dan setiap kali aku memeluknya erat, kelihatan air bergenang di penjuru mata. Lelaki tegas, bengkeng dan garang suatu waktu itu adalah ayahku. Dan aku tetap akan menyayanginya setiap waktu. Malah aku juga percaya bahawa dia amat menyayangi aku, malah sedari dulu. Cuma cara yang dizahirkannya itu tidak seperti ayah orang lain. Namun kasihnya yang menggunung kepada anak-anaknya tetap utuh dan jitu..
.


ayah, aku sayang padamu...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terimakasih kerana sudi komen paparan saya. Saya amat menghargainya.