KENGKAWAN YANG SEJIWA...

Sabtu, 12 Februari 2011

MY MIRACLE JERRY



JERRY adalah kucing ketiga kami pungut. Kami ambil dia di asrama SMKSYP2. Tujuannya sebagai peneman Tom, dan yang paling penting, aku benci bila anak-anakku saling berebut dan bertarik Tom (sampai nak tercabut kaki). Jerry lucu secara fizikal. Kakinya pendek dan bila dia makan banyak, perutnya akan terseret di lantai... Bila masa makin berlalu, Jerry semakin dewasa. Tiba masa dia menjadi kucing jantan dewasa. Maka Jerry berubah dari seekor kucing yang manja kepada kucing jantan dominan yang garang. Bberapa kali anak-anak aku berdarah tangan dan muka dicakarnya. Jerry juga suka memancutkan kencingnya di seluruh rumah kami. Biasalah, musim mengawan, Jerry sibuk menandakan kawasannya....
Oleh kerana tidak tahan dengan sikap garang dan hancing kencingnya itu, aku bertekad untuk membuang Jerry. Lokasi pilihan kami agak jauh - melalui lebuh raya dan melintasi beberapa buah kampung (dalam 12 km juga la). Pada petang Maal Hijrah yang redup itu, kami sekeluarga membawa Jerry untuk dibuang. Kami memeluk dan menciumnya puas-puas. Di saat suami memusingkan kereta, anak-anakku meraung keransa terpaksa berpisah dengan Jerry. Aku dan suami turut mengalirkan air mata, namun apakan daya-keputusan adalah MUKTAMAD. Surat menyurat tidak akan dilayan...
Setelah menyedari Jerry sudah tiada, musuh tradisinya, TOM kelihatan amat riang dan gembira! Masakan tidak, sebelum ini Tom terpaksa hidup dalam persembunyian kerana Jerry pasti ingin mencederakannya! Kami meneruskan kehidupan, namun ternyata di hati masing-masing diulit rindu terhadap Jerry...
Allah itu Maha Berkuasa. Hari kelapan selepas dibuang, dari jauh aku terdengan suaranya yang mengiau nyaring seperti sebelumnya!! Aku tinggalkan perlawanan bola sepak yang diikuti dan cuba keluar mencari. Benar, Jerry telah pulang, kata anak sulungku. Hilang kantukku semerta lantas terus menerpa ke arahnya. Jerry agak kurus dan lapar. Badannya juga agak kotor. Segera kuberi dia makan, sambil air mata ini bercucuran. Hebatnya kamu Jerry! Macamana kamu berjaya pulang semula setelah begitu jauh kami buang? Mulai saat itu, kami putuskan tidak akan membuang lagi Jerry. Garanglah kamu, kencinglah kamu semahunya, kau tetap kami alukan di rumah ini Jerry. Kerana kau amat istimewa- seekor kucing yang berani, nekad dan gigih!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terimakasih kerana sudi komen paparan saya. Saya amat menghargainya.