KENGKAWAN YANG SEJIWA...

Sabtu, 12 Februari 2011

KAU DALAM INGATAN

MIMI. Itulah nama yang aku dan anak-anakku berikan kepada anak kucing ini. Kami tidakpun membelanya, tapi ibunya, yang merupakan kucing jalanan telah tumpang berteduh di dalam bilik stor belakang rumah kami tatkala ia melahirkan tiga anaknya lewat dua musin tengkujuh yang lalu. Awalnya, mereka ketakutan dan agak liar. Tapi setelah disogokkan dengan makanan, lama-lama mereka mula menerima kami. Anak-anakku amat gembira. Musim cuti sekolah mereka yang membosankan terisi dengan kehadiran kucing-kucing ini. Biasanya, rumahku akan riuh rendah dengan suara tangisan atau laungan kerana perbalahan mereka. Sekarang, jadi agak tenag, malah senyap dan sunyi. Dalam kehairanan, aku menjengah ke luar dapur, nampaklah anak-anakku sedang tidur berdakapan dengan anak-kucing itu...
Tapi itu semua tidak kekal lama. Bila kucing-kucing itu mula membesar dan semakin jinak, mereka menjadi terlebih agresif dalam meminta makan. Pantang aku buka pintu dapur untuk ke ampaian, semua meluru masuk ke dalam rumah! Rimas aku dibuatnya. Lama kelamaan, kesabaran ini hilang. Aku nekad, kucing-kucing itu terpaksa aku buang! Anak-anakku meraung sekuat hati tatkala aku meletakkan ibu kucing bersama tiga anaknya itu di tepi gerai kegemaran kami... Seminggu selepas itu, waktu kami ingin makan malam di gerai itu, kucing-kucing itu galak bergurau senda sesama mereka. Bila aku panggil, mereka toleh, seoal mengingati nama mereka (yang aku berikan). Sedih juga hati ini. Tapi suamiku memujuk dengan mengatakan itu takdir mereka. Mereka bukan kucing kita. Lagipun kami memang sudah ada kucing peliharaan di rumah... Hatiku terubat. Aku pulang dengan berjanji yang akan jumpa mereka lagi selepas ini.
Malangnya, seminggu selepas itu, tiada lagi kelibat Mimi dan keluarganya di gerai itu... Tak tahulah aku ke mana mereka berada sekarang. Namun gambar-gambar mereka yang sempat aku rakamkan dulu menjadi pengubat rindu... Mimi, Sim dan Pan, kalian dalam ingatan
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terimakasih kerana sudi komen paparan saya. Saya amat menghargainya.