KENGKAWAN YANG SEJIWA...

Sabtu, 12 Februari 2011

BELASUNGKAWA BUAT CIKGU HARON

Orang kata, kita tidak akan menghargai sesuatu benda/ seseorang melainkan setelah kita kehilangannya. Mungkin ada juga benarnya. Aku tidaklah baik sangat dengan (bekas) rakan sekerja ku ini, walaupun dia telah mula mengajar di sekolahku sejak tahun 2005 lagi. Cikgu Haron yang kami pernah kenali adalah agak misteri orangnya. Dia seorang yang pendiam dan penyendiri, tidak suka berbual kosong sesama rakan. Banyak masa yang dihabiskan di sekolah (selain mengajar) adalah bersembahyang sunat di musolla sekolah kami.
Cikgu Haron yang aku kenali adalah seorang yang amat garang dan tegas dengan murid-muridnya. Dia tidak sama sekali senyum kepada mereka. Murid-murid sekolah kami seolah menahan nafas kalau melihat kelibat beliau. Cara dia menguruskan p&p di dalam kelas juga amat unik dan berbeza daripada kami. Malah pada awalnya dulu, aku antara cikgu yang membantah caranya, yang pada amatanku agak zalim... Namun beliau tidak melatah, malah tetap dengan kebiasannya itu. Ternyata, murid-murid dapat didisiplinkan dan menumpu perhatian semasa belajar (sekurang-kurangnya semasa pengajarannya)
Aku sering kecil hati dengan murid-murid kelasku. Walau masa aku masih bersisa 10 minit lagi, mereka sudah menutup buku teks Bahasa Inggerisku, dan ketua darjah dengan lantangnya mengumumkan kepada kelas supaya bersedia untuk pengajaran Bahasa Melayu-masa Cikgu Haron! Melopong aku... Takut sangatkah mereka kepada Haron? Aku sering menjadi bahan ketawa rakan kerana sering mencuri-curi / mengendap Cikgu Haron semasa beliau mengajar...
Satu lagi tabiat dan kebiasaan Cikgu Haron, yang aku sendiri tidak akan mampu untuk melaksanakannya, ialah dia amat perihatin dengan kebajikan dua orang anak perempuannya. Setiap hari, menjadi rutin beliau untuk membawa bungkusan nasi (yang disediakan isterinya), membukakan untuk anak-anaknya, malah tolong singsingkan lengan baju budak-budak itu. Begitulah saban tahun, dan aku saban hari akan menegur dan mengusiknya, "Hai Ron.. Baiknya.. Bapa mithali la katakan..." Dan beliau hanya tertunduk dan tersenyum sahaja. Sedangkan dia sendiri tak makan di kantin, tapi tak jemu untuk menemankan anak-anaknya makan.
Namun pada awal Julai 2010 yang lalu, Cikgu Haron ku lihat semakin menyendiri dan pendiam. Kulit putihnya itu tidak dapat menyembunyikan wajah pucatnya. Kami andaikan kesibukannya menguruskan isterinya yang baru melahirkan anak ke3nya melalui pembedahan menjadi punca.
Hujung Julai, semasa berucap di perhimpunan mingguan, Cikgu Haron menerima tepukan daripada murid-murid. Walhal guru-guru sebelum ini tidak pernah menerima, hatta guru besar sekalipun! Wah! Hebat penangan Haron, fikirku...
Dua tiga hari selepas itu, Cikgu Haron cuti sakit. Bila beliau datang pada hari berikutnya, mukanya kelihatan pucat, sembab dan bibirnya bengkak. Dia banyak mendekati kami semua, menegur seadanya (itu bukan kebiasannya) dan ceritakan penyakitnya. Katanya, kepalanya dah masuk hantu sambil merenung kami lama-lama. Aku hanya tersenyum, dan Kak Som memintanya supaya banyak bersabar...
Esoknya kami dimaklumkan Cikgu Haron dah masuk ICU di HBKB sebelum dipindahkan ke HUSM beberapa hari kemudian. Memang heboh di sekolah kami tentang penyakit Cikgu Haron. Semuanya terkejut, kerana kami tidak pernah mengetahui tentangnya. Semua tertanya-tanya, penyakit ketumbuhan di dalam otak yang dihidapinya itu sengaja dirahsiakan beliau. Entahlah...
10 Ogos, semasa bersarapan di kantin, hatiku berdebar disaat mendengar pengumuman yang dibuat oleh PK KO dengan suara yang bergetar - Cikgu Haron telah kembali ke rahmatullah...
Satu sekolah senyap dan sunyi, seolah dilanggar garuda! Beberapa minit selepas itu barulah kedengaran suara tangisan dan raungan murid-murid! Bayangkan, satu sekolah menangis (termasuk aku) seperti anak kecil. Secara peribadi, walau aku menjangkakan akan 'pemergian' beliau, tapi aku tidak sama sekali menyangka ianya seawal ini!
Lebih ironi lagi, sekolah kami adakan jamuan sempena menyambut kehadiran bulan Ramadhan esok hari. Kami tukarkan majlis itu menjadi majlis tahlil untuk arwah. Kami yang biasanya gegak gempita semasa menyediakan hidangan, seolah mati kutu dan kehilangan kata-kata. Aku dah tak rasa apa yang dimakan. Lagi sedih, ada di antara kami tak boleh makan pun kerana terlampau sedih.
Selepas Zohor, jenazah arwah selamat tiba di rumahnya. Pegawai PPD, termasuk tuan pengarah sendiri turut datang melawat. Aku yang sedari tadi cuba menahan air mata, tewas jua tatkala menatap wajah terakhir beliau! Kawanku kata, aku terisak-isak seperti budak kecil. Entahlah, aku dah tak ingat. Yang aku ingat, di hadapanku itu, adalah satu wajah yang paling manis dan tenang yang pernah aku lihat. "Ron, aku banyak berdosa kepadamu. Aku selalu tidak dapat menerima akan segala perlakuanmu di sekolah. Ampunkan aku Ron!" bisikku dalam isak tangis.
Wajah arwah Cikgu Haron aku tatap lama-lama. Terpancar senyuman pada bibirnyan yang bengkak itu. Air mukanya kelihatan begitu jernih, putih dan suci. Haron pergi dalam senyuman, walau dia meninggalkan anak bongsu lelakinya yang baru berusia 3 bulan...
Pemergian Cikgu Haron, yang pada hematku secara tiba-tiba benar-benar mengejutkan aku. Awal pagi esoknya, aku tidak dapat menelan nasi sewaktu bersahur kerana memikirkan keadaan anak-anak dan isterinya. Bagaimanakah mereka menghadapi bulan Ramadhan ini?
Cikgu Haron pergi di saat umat Islam bersiap menyambut kehadiran Ramadhan..
Sehingga ke hari ini, aku suka memerhatikan dua orang anak rakanku itu semasa berada di kantin. Kini mereka makan sendiri. Dan paling menyedihkan, mereka berbasikal sendiri ke sekolah, walau dalam hujan dan terik mentari tengahari. Tiada lagi ayah mereka yang dahulunya sentiasa melakukan segalanya untuk mereka... Alfatihah untukmu sahabatku. Aku percaya roh mu berada bersama orang-orang yang beriman. Amin..
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terimakasih kerana sudi komen paparan saya. Saya amat menghargainya.